Anggota polis dan ATM mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan secara pentadbiran di Pangsapuri Utama Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP Pemulihan ganti PKP Bersyarat, mula 10 Jun sehingga 31 Ogos

SHAH ALAM, 7 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat diganti dengan PKP Pemulihan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rentas negeri juga dibenarkan mulai 10 Jun dalam tempoh PKP Pemulihan kecuali membabitkan kawasan PKP Diperketatkan.

Dalam perutusan khas secara langsung hari ini, beliau juga menjelaskan hampir semua sektor pendidikan, sosial, ekonomi akan dibenarkan beroperasi.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 hingga 12 Mei membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

PKPB kemudian dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun (Selasa) ini.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan PKPP ini akan melibatkan tujuh strategi iaitu:

1. Pengukuhan Kesihatan Awam
2. Perundangan dan Penguatkuasaan
3. Pengukuhan Kawalan Sempadan
4. Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi
5. Pembudayaan Kebiasaan Baharu
6. Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti
7. Perlindungan Golongan Berisiko

Kata perdana menteri, strategi ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster) Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Di peringkat kerajaan negeri pula, strategi tersebut dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya.

Muhyiddin berkata pelaksanaan strategi ini memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk jentera kerajaan pusat dan negeri, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin dan ketua komuniti.

 


Pengarang :