Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media berkaitan jangkian Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP Pemulihan: KKM pantau pematuhan SOP hingga 31 Ogos

PUTRAJAYA, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan dilaksanakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) supaya tindakan boleh dikenakan terhdap mereka yang ingkar SOP.

“Pemantauan perlu diteruskan kerana virus masih wujud dalam komuniti dan kemungkinan jangkitan berlaku masih ada.

“Jika selepas 31 Ogos, kes kekal satu atau dua angka KKM akan menimbang untuk membuka kawalan sempadan negara,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di KKM, hari ini.

Beliau berkata antara syarat yang dilihat sebelum sempadan negara dibuka semula ialah pergerakan hanya terhad dalam negara zon hijau atau negara kelompok yang rendah risiko jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham optimis Malaysia mampu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tanpa vaksin dengan pendekatan kawalan kesihatan awam.

“Kalau kita patuh pada saranan awam, (sebelum ini) kita berjaya mengawal jangkitan SARS dan MERS yang tak ada vaksin.

“Tak mustahil kita berjaya putuskan jangkitan Covid-19 tanpa vaksin, tapi ada vaksin lagi bagus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :