Anggota polis dan tentera mengawal pergerakan keluar masuk berdekatan Tol Kuantan pada hari-hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 8 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP Pemulihan: Polis laksana tugas selaras arahan MKN, kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Penugasan polis akan disesuaikan dengan arahan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata urusan pengkompaunan masih berterusan semasa tempoh PKPP berkenaan.

“Pihak JSPT akan melakukan penyesuaian arahan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa berkaitan PKPP,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata penempatan anggota di sekatan jalan raya selain penguatkuasaan pematuhan jarak sosial masih berkuat kuasa sehingga esok mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, ditanya mengenai kebarangkalian keadaan lalu lintas menjadi sibuk sebelum orang ramai betul-betul diberi kebenaran untuk melakukan aktiviti rentas negeri atau pulang ke kampung pada 10 Jun, beliau berkata tiada kesesakan luar biasa setakat ini.

“Setakat ini tiada kesesakan luar biasa dimaklumkan dengan aliran bergerak lancar di kebanyakan lebuh raya,” katanya.

Semalam Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menetapkan bentuk penugasan baharu pada esok (9 Jun), susulan pengumuman PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan PKPB yang berakhir esok.

Berikutan itu, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :