ADNSELANGOR

PKP Pentadbiran: Penduduk digesa patuh SOP, jangan rentas negeri

SHAH ALAM, 12 JUN: Penduduk dua taman di Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran sehingga 16 Jun ini wajib mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) walaupun dibenarkan bergerak bebas.

Ahli Dewan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dilarang merentas negeri selagi penguatkuasaan belum selesai.

“Amalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta kerap cuci tangan dalam norma baharu kehidupan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim memaklumkan penduduk negatif Covid-19 dibenarkan keluar masuk kawasan selepas mendapat Annex 17 iaitu pelepasan dari menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Pada 3 Jun lalu, dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.


Pengarang :