Penduduk setempat beratur menunggu giliran dan diberi cecair pembasmi kuman sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni, pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKP secara pentadbiran benarkan urusan keluar masuk

SHAH ALAM, 3 JUN: Penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Canggang, Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran
masih boleh melakukan pergerakan keluar masuk.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika dilaksanakan PKP Diperketatkan kawasan tersebut dipagar dengan kawat berduri dan tidak dibenarkan sebarang pergerakan keluar masuk daripada kawasan itu.

“Penduduk di kawasan tersebut boleh keluar tetapi dengan pemeriksaan kesihatan ketat,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata ujian saringan kesihatan tetap dilakukan kepada semua penduduk mengikut tatacara operasi piawai (SOP) walaupun urusan keluar masuk dibenarkan.

PKP pentadbiran dilakukan selepas 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tinggal di taman berkenaan, disahkan positif Covid-19 pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman dilaporkan berkata pihaknya dan Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengesan 114 kontak rapat kepada pesakit berkenaan.


Pengarang :