Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja pemasangan kawat duri di sekitar Pangsapuri Taman Langat Utama dan Pangsapuri Taman Langat Murni pada 3 Jun 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKP secara pentadbiran: Penduduk hadapi masalah dibantu

SHAH ALAM, 6 JUN: Penduduk terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Kuala Langat yang mengalami masalah kewangan diminta tampil ke bilik gerakan di Bukit Changgang.

Pegawai daerah itu, Mohd Jusni Hashim berkata penduduk mengalami masalah itu adalah mereka yang bergaji hari dan ketika ini tidak dibenarkan keluar berkerja.

“Mereka boleh datang ke bilik gerakan yang beroperasi 24 jam. Bantuan tidak dapat diberikan kepada semua dan benar-benar kesempitan akan dibantu.

“Mereka bukan di bawah pelaksanaan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) jadi kita tumpu individu yang bermasalah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Jusni berkata, bagi memudahkan penduduk juga pihaknya membenarkan keluarga untuk menghantar barangan keperluan namun hanya di pintu masuk.

“Setakat hari ini lebih separuh penduduk sudah disaring dan kini kita sedang kesan individu yang belum menjalani ujian ini,” katanya.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP pentadbiran susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di KLIA dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.


Pengarang :