Seorang pengunjung membelek pakaian di salah sebuah kedai di Kompleks PKNS, Shah Alam yang kembali beroperasi bermula 6 Mei 2020 selepas ditutup sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus

SHAH ALAM, 5 JUN: Kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau 860,000 orang tahun ini berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehingga Mac lalu, angka berkenaan diunjur pada paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang.

“Mengambil kira situasi yang mencabar ini, ekonomi Malaysia dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini berikutan usaha pembendungan penularan Covid-19 masih dijalankan di peringkat global dan dalam negara,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara hari ini.

Beliau berkata lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja mula bekerja sehingga 2 Jun berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu.

Muhyiddin berkata pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar negatif tiga peratus berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa dan kemelesetan ini kali pertama sejak 1930an.

Pada 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan pembukaan beberapa sektor bagi menjamin kelangsungan ekonomi negara dengan syarat pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.


Pengarang :