AGENDAJENAYAH

Polis: Indeks jenayah turun 46.7 peratus sepanjang 84 hari

SHAH ALAM, 11 JUN: Indeks jenayah sepanjang 84 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat turun sebanyak 46.7 peratus, kata pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman.

Datuk Huzir Mohamed berkata sebanyak 10,134 kes pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan mulai 18 Mac berbanding 19,014 kes dalam tempoh 84 hari sebelum PKP, lapor Astro Awani.

“Kes jenayah terbahagi kepada dua iaitu jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan samun serta jenayah harta benda melibatkan curi kenderaan dan pecah rumah.

“Maknanya dalam tempoh PKP dikuat kuasa keadaan negara amat selamat dengan indeks kes kurang sebanyak 8,880 kes,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam pada itu Huzir berkata premis hiburan seperti kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP Pemulihan.

“Polis sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tiada premis dalam kategori tersebut berdegil dan beroperasi secara rahsia,” katanya.

Ahad lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan banyak kelonggaran diberikan dalam tempoh pelaksanaan PKP Pemulihan tetapi beberapa sektor seperti kelab malam, pub, taman tema serta pusat hiburan, karaoke dan refleksologi dilarang beroperasi.


Pengarang :