Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis keluar 52 kompaun ingkar SOP perintah kawalan pemulihan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Sebanyak 52 kompaun telah dikeluarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Rabu lepas, terhadap pemilik premis yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah premis yang beroperasi melebihi had waktu yang dibenarkan.

Beliau berkata pihaknya telah menegaskan kepada pemilik-pemilik premis bahawa operasi perlu ditutup pada pukul 12 tengah malam, namun masih ada segelintir yang berdegil dan beroperasi sehingga pukul 1 atau 2 pagi.

“Oleh yang demikian, kami kompuan mereka. Begitu juga dengan premis hiburan yang masih lagi tegar melaksanakan operasi menghiburkan pelanggan seperti di pusat karaoke dan lain-lain pusat hiburan.

“Pusat-pusat hiburan yang beroperasi turut dikompaun kerana ketika ini mereka masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran MyPelawat di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam perancangan untuk menambah pegawai dan anggota polis dengan melakukan pengambilan baharu tahun ini.

“Kami masih lagi dalam perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya, dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin, ramai rekrut baharu yang kita perlukan,” katanya.

 

– BERNAMA


Pengarang :