Aliran trafik sesak di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya pada 11 Jun 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila hampir kesemua sektor kembali dibuka. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis keluarkan 80,950 saman sejak hari pertama PKPP

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Polis mengeluarkan sebanyak 80,950 saman terhadap pengguna jalan raya sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) (10 Jun) sehingga semalam.

Antara kesalahan utama yang dilakukan adalah memandu melebihi had laju dengan sebanyak 37,802 saman, lesen tamat tempoh (12,169) dan sebanyak 10,390 saman tidak mematuhi arahan papan tanda trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihak JSPT akan terus mengambil tindakan saman dan membawa pesalah ke mahkamah, jika melanggar peraturan dan undang-undang raya.

“Ini juga termasuk pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan mabuk dan penunggang motosikal yang didapati merempit di jalan raya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak hampir 40 juta saman masih tertunggak yang belum diselesaikan orang ramai, sejak tahun 2000.

Beliau berkata kesemua saman berkenaan mencecah nilai sehingga lebih kurang RM4 bilion.

Azisman turut mengingatkan mereka yang menerima saman trafik berkenaan agar melunaskannya dengan segera.

“Kategori kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi arahan papan tanda trafik, kesalahan berkaitan lesen dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :