SELANGOR

Polis kesan lima individu bantu siasatan pergaduhan di Bangi

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Joe’ serta empat individu lain bagi membantu siasatan insiden pergaduhan berhampiran Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan diserang sekumpulan lelaki ketika berniaga buah-buahan di lokasi itu kira-kira 6 petang.

“Suspek dikatakan memukul serta membaling buah durian ke arah mangsa selain merosakkan tapak perniagaan milik lelaki berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian kerana perebutan tapak perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Insp Suresh di talian 017-4333795 atau 03-89114222.

– BERNAMA


Pengarang :