Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Polis lumpuh kegiatan pecah rumah, premis perniagaan

KLANG, 18 JUN: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Pejal Koya’ yang aktif dalam kes jenayah pecah rumah dan premis perniagaan di sini, dengan penahanan 21 individu termasuk dalangnya menerusi beberapa serbuan sekitar daerah ini dan Gombak sejak 2 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata tujuh daripada suspek adalah warga tempatan termasuk seorang wanita, manakala 10 lagi adalah warga Indonesia termasuk wanita, tiga adalah lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan berada dalam lingkungan umur di antara 28-40 tahun dan hasil soal siasat mendapati, dalang geng pecah rumah itu adalah seorang lelaki warga Indonesia yang berumur sekitar 30an.

“Siasatan juga mendapati geng berkenaan dipercayai mula aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak April lepas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran banyak premis perniagaan tidak beroperasi ketika itu.

“Dengan tertumpasnya geng pecah rumah ini, polis percaya sembilan kes berkaitan berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nurulhuda berkata turut dirampas adalah pelbagai barangan hasil jenayah geng terbabit dianggarkan bernilai RM40,000; antaranya 23 telefon bimbit, kad tambah nilai (28), televisyen (2), komputer riba (3), baju-T (200), jam tangan (1,200) dan seluar ‘jeans’ (1,005).

Kesemua suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu di MERSING, Johor, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun di sekitar kawasan Seri Pantai di sini Khamis lepas, dalam masa kira-kira 24 jam selepas sebuah premis pengurup wang di Jalan Tepian Sungai di sini, dipecah masuk.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata pengurup itu mengalami kerugian kira-kira RM141,000 melibatkan pelbagai mata wang asing selepas premis itu dipecah masuk, awal pagi Rabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki tempatan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah, dan dengan penangkapan mereka, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah seerta premis di sekitar bandar Mersing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan itu positif dadah jenis methamphetamine, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :