Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kementerian Dalam Negeri pada 5 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis rangka penugasan baharu susulan PKP Pemulihan

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berakhir Selasa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang memperhalusi butiran berhubung pengumuman PKPP tersebut.

“Menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu,” katanya kepada Bernama disini, hari ini.

Beliau berkata, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

Selain itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya (SJR) akan diteruskan, beliau berkata ia sudah tidak ada keperluan.

“Buat saat ini, SJR untuk PKPP ini jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid-19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

“Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial,” katanya.

Abdul Hamid berkata, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan Covid-19 belum berakhir.

Antara intipati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD.

-BERNAMA


Pengarang :