SELANGOR

Polis tahan pelanggan, pekerja premis hiburan langgar arahan PKPB

SHAH ALAM, 9 JUN: Sebuah premis hiburan keluarga di Klang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran diserbu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata pemeriksaan menemui empat simulator berunsur perjudian sedang berfungsi dan dimainkan seorang pelanggan lelaki berusia 66 tahun.

“Siasatan juga mendapati lesen premis tamat Disember lalu. Penjaga premis warga Indonesia pula tidak mempunyai permit kerja sah dan pas lawatan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurulhuda berkata, pekerja dan pelanggan ditahan sementara mesin simulator dan wang berjumlah RM87 dirampas.

“Pelanggan turut dikenakan kompaun mengikut Peraturan 3 Halangan dan Kawalan Pergerakan Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan,” katanya.

Kerajaan memutuskan pusat hiburan termasuk dalam senarai larangan dibuka mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan Covid-19.


Pengarang :