Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
SELANGOR

Polis tangkap dua lelaki edar dadah, rampas senjata api

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di Sungai Chua, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 42 dan 48 tahun itu ditahan kira-kira 7.30 malam dan polis turut merampas dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 2.3 kilogram, serta enam senjata api.

“Susulan penahanan itu, siasatan lanjut polis di sebuah pangsapuri di Subang Jaya turut menemui dadah jenis sama, empat laras senapang dan dua pucuk pistol dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM350,085,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata selain itu, turut dirampas adalah senjata api dipercayai pistol ‘airsoft’ yang dibeli secara dalam talian.

Mohd Zaid berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek bagi tujuan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula kelmarin manakala kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bertindak atas maklumat ‘Ops Vulture’, polis menahan 10 lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 27 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang ‘Ah Long’, di sebuah premis di Bandar Botanic, Klang, kelmarin.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan ekoran laporan polis dibuat pengadu yang membuat pinjaman wang terhadap 27 ‘Ah Long’, berjumlah RM35,000.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak kira-kira tiga tahun lepas dan terlibat dengan pelbagai kes jenayah di sekitar Lembah Klang. Kesemua suspek direman tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :