AGENSISELANGOR

PPAS dibuka semula Isnin ini – Mastura

SHAH ALAM, 13 JUN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan membuka semula semua perkhidmatan kepada pengunjung bermula Isnin ini, kata pengarahnya.

Mastura Muhamad berkata pengoperasian semula adalah selaras Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan kerajaan sejak kelmarin.

“Kita menghadkan jumlah pengguna mengikut kesesuaian saiz ruang perpustakaan dan mereka perlu mendaftarkan diri di kaunter perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kanak-kanak serta golongan berisiko dinasihatkan untuk tidak berada di premis PPAS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memeriksa suhu badan, mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

Pada masa sama, Mastura berkata peminjam buku atau bahan rujukan yang tidak sempat memulangkannya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi tempoh sehingga 31 Julai tanpa dikenakan denda.

Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam; PPAS Gombak, PPAS@PJKita Kampung Lindungan, PPAS Kajang dan PPAS Sungai Udang akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Waktu operasi bagi perpustakaan daerah, cawangan, pekan dan desa adalah Isnin hingga Jumaat mulai 9 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 9 pagi hingga 5.30 petang.


Pengarang :