AGENDANASIONAL

PRK DUN Chini: Pengundi positif Covid-19 tidak dibenar mengundi

SHAH ALAM, 12 JUN: Individu positif Covid-19 tidak dibenarkan untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada 4 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) sebelum memperhalusi pelaksanaan itu.

“Kita akan lihat senarai kes yang dikuarantin atau dimasukkan ke wad, tetapi kalau pesakit itu tenat mereka tidak dibenarkan keluar wad untuk melaksanakan tugas sebagai pengundi.

“Kita akan mengadakan SOP yang akan diteliti oleh pelbagai agensi sebelum boleh dilaksanakan bersama,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun berkata pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin atas sebab penyakit itu dibenarkan untuk mengundi pada PRK tersebut.

Bagaimanapun, kesediaan SPR memberi peluang itu kepada pengundi tertakluk kepada kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.


Pengarang :