AGENDANASIONAL

Prolintas ambil inisiatif berterusan banteras malaria

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Pemegang konsesi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang, Kumpulan Syarikat Prolintas menjalankan inisiatif berterusan bagi membanteras penularan malaria.

Merujuk kes penularan di Ampang, ProLintas dalam kenyataan hari ini berkata antara inisiatif diambil adalah membersihkan penempatan pekerja dan tapak pembinaan, merobohkan penempatan sementara dan pembinaan semula penempatan lebih tersusun untuk memastikan kebersihan sekeliling terjaga.

“Penyemburan cecair juga dibuat bagi tujuan kawalan vektor, melantik operator kawalan serangga berdaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aktiviti semburan kabus secara berkala,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Prolintas turut melantik warden bagi mengawal pergerakan pekerja yang dihadkan serta mengemas kini senarai pekerja di tapak bina bagi tujuan pemantauan.

Semalam, KKM memaklumkan kes malaria membabitkan 14 individu termasuk seorang warga tempatan di Ampang disyaki berpunca daripada seorang pekerja pembinaan warga Indonesia yang mendapat jangkitan dari Aceh, Indonesia dan merebak kepada rakan sekerja serta penduduk berdekatan.

Kes terakhir dilaporkan pada 12 Jun dan hingga kini tiada laporan jangkitan baharu.

Prolintas turut memaklumkan pihaknya melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara berterusan terhadap semua pekerja warga asing bagi memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

-BERNAMA


Pengarang :