AGENDABERITA UTAMANASIONAL

ProLintas jangka trafik meningkat 30 peratus hujung minggu ini

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Kumpulan Syarikat ProLintas menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 30 peratus, iaitu hampir 300,000 kenderaan di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) pada hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Operasi ProLintas Rostam Shahrif Tami berkata peningkatan jumlah lalu lintas disebabkan oleh ribuan rakyat Malaysia mula melakukan perjalanan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lepas, yang membenarkan perjalanan rentas negeri.

“Selepas minggu ini, kami akan memantau peningkatan trafik antara 20 hingga 30 peratus pada hari biasa dan hujung minggu, susulan lebih banyak sektor komersial dibuka serta perjalanan dalam negeri. Kami percaya rakyat Malaysia bebas melakukan perjalanan sambil mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Lebuhraya ProLintas Mohd Fuad Kamal Ariffin berkata kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di GCE beroperasi sepenuhnya kepada pengguna dengan mengenakan SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan merekodkan masa lawatan ke lokasi berkenaan.

“GCE dilengkapi lampu LED dan menyediakan laluan khas motosikal di sepanjang lebuh raya. Ia menghubungkan beberapa lebuh raya dan kawasan kediaman utama yang menjadikan lebuh raya ini sebagai laluan pilihan pengguna,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna agar merancang perjalanan mereka serta menambah nilai kad Touch n Go melalui kiosk layan diri sepanjang GCE seperti di Plaza Tol Bukit Jelutong (arah utara), R&R Elmina (arah selatan) atau menggunakan kemudahan eWallet (Direct Pay) di beberapa plaza tol di GCE.

Sebarang pertanyaan dan maklumat terkini, pengguna boleh menghubungi GCE di talian 1-300-88-0035 serta platform media sosial di Twitter dan Facebook atau muat turun aplikasi ProLintas di Apple Store dan Google Play.

– BERNAMA


Pengarang :