Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat telesidang bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, SUK Shah Alam pada 4 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rawat masalah murung guna kaedah rohani, kaunseling – MB

SHAH ALAM, 4 JUN: Dato’ Menteri Besar menasihatkan individu berdepan masalah kemurungan menggunakan pendekatan kerohanian dan segera mendapatkan khidmat kaunseling serta terapi psikologi.

“Kemurungan atau dalam terma perubatan sebagai ‘Major Depressive Disorder’ merupakan di antara penyakit mental paling banyak diperkatakan dan boleh dihidapi sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter selain menambah penggunaan ubat khusus untuk merawatnya juga boleh digunakan sebagai alternatif.

Amirudin berkata antara tanda seseorang mengalami simptom itu adalah mudah tersinggung, berasa sedih lebih dari dua minggu, hilang keyakinan diri dan sukar memberi tumpuan terhadap kerja atau perbualan.

“Komplikasi dari penyakit mental ini membolehkan individu lebih cendurung untuk membunuh diri, hilang ingatan dan juga mengalami sengsara yang kronik,” katanya.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan menerima 4,969 panggilan berkaitan masalah tekanan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

KKM dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.

Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat Covid-19 boleh menghubungi talian 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935.

Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.


Pengarang :