B Sathianathan
AGENDANASIONAL

Red Giants kembali berlatih selepas saringan Covid-19

SHAH ALAM, 13 JUN: Pasukan Selangor akan kembali menjalani latihan bermula 16 Jun ini selepas selesai menjalani ujian saringan Covid-19, kata ketua jurulatihnya.

B Sathianathan berkata pemain akan dibahagikan kepada kumpulan kecil bermula dengan sesi latihan kecergasan dan teknik individu selama dua minggu.

“Saringan Covid-19 kita akan lakukan pada 15 Jun ini. Pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan jumlah maksimum lapan orang bersama empat jurulatih,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menguruskan kepulangan dua pemain Red Giants iaitu Ifedayo Olusegun yang berada di Nigeria dan Safuwan Baharudin di Singapura untuk kembali bersama pasukan.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia berharap aksi musim ini dapat disambung semula seperti dirancang Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas semua pasukan dilarang mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sejak 17 Mac lalu.


Pengarang :