BERITA UTAMASELANGOR

RM1.4 juta dilulus baik pulih tanah mendap di Gombak

SHAH ALAM, 14 JUN: Penduduk Apartment Cemerlang Heights di Gombak bakal menarik nafas lega apabila kejadian tanah mendap yang menghantui mereka sejak tahun lalu kini sudah mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM1.4 juta diperuntukkan bagi kerja baik pulih yang akan dilakukan selepas pelantikan kontraktor.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan RM1 juta menerusi Unit Perancang Ekonomi sementara RM400,000 lagi dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS),” katanya menerusi siaran televisyen semalam.

Beliau juga telah mengarahkan MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bekerjasama bagi menyelesaikan isu terbabit.

“Keselamatan penduduk adalah keutamaan,” katanya menerusi Twitter.

Terdahulu dilaporkan lebih daripada 50 pemilik kediaman di perumahan itu berada dalam keadaan bimbang apabila tanah di bahagian bawah rumah didapati mendap sejak April tahun lalu.

Awalnya penduduk mengesan lubang sebesar bola di bahagian tepi rumah, namun keadaan semakin memburuk apabila hujan berlaku.


Pengarang :