RENCANAWAWANCARA

Rokok: Antara nikmat dan sengsara, mana pilihan?

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 1 JUN: “Bagi saya rokok ini nikmat. Macam peneman, rakan akrab kita (perokok) ketika susah dan senang. Sesetengah orang apabila ada masalah bercerita dengan rakan, saya pula berkongsi suka duka dengan rokok.

“Nikmat rokok? Tak tahu nak gambarkan. Tapi segala masalah hilang, hati pun tenang bila merokok. Bayangkan, saya boleh menghabiskan tiga batang dalam masa sejam. Sehari saya boleh habiskan dua kotak rokok.

“Satu kotak ada 20 batang rokok, agak-agak dalam 30 batanglah sehari saya merokok. Belanja ratusan ringgit sebulan untuk rokok bukanlah masalah buat saya, asalkan nikmat,” demikian kata perokok tegar Mohd Khairul Nizam Aharudin, 36.

Bernama menghubungi beliau baru-baru ini untuk bekongsi kisah kehidupannya dengan rokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun.

Tema tahun ini ialah belia iaitu memperkasa golongan muda yang menjadi sasaran industri dan memerangi ketagihan tembakau.

Mula merokok kerana ingin cuba

Mohd Khairul Nizam mula merokok ketika berusia 17 tahun kerana terpengaruh dengan bapanya dan rakan sekolah yang merupakan perokok tegar.

Menurut pekerja swasta di Pulau Pinang ini, beliau tidak menyangka, bermula dengan perasaan ingin tahu dan ingin cuba, akhirnya menyebabkan beliau mengalami ketagihan rokok.

Malah, ketagihan rokok yang melampau ini membuatkan anak sulung daripada lima beradik ini sanggup berbelanja besar membeli pelbagai jenis rokok berjenama di samping rokok murah untuk melepaskan giannya.

Perihal bahaya kesihatan, beliau bukannya tidak tahu bahkan sudah berbuih mulut rakan menasihatinya, namun semuanya itu tidak diendahkan.

Bagaimanapun, semuanya berubah pada awal Mac lepas beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Bapa kepada dua orang anak ini mengambil keputusan nekad untuk berhenti merokok secara cold turkey iaitu sejenis kaedah berhenti merokok secara drastik tanpa bantuan ubatan mahupun sokongan profesional.

Norma baharu

“Batuk bagi perokok memang biasalah tetapi kali ini saya mengalami batuk berpanjangan seolah-olah tidak akan berhenti dan sukar bernafas. Ketika itu, saya dah mula risau jika dapat COPD (penyakit sekatan pulmonari kronik) dan risiko dijangkiti Covid-19.

“Lagi pun saya ada darah tinggi. Mereka yang ada NCD (penyakit tidak berjangkit ) sekiranya dijangkiti Covid-19, risiko komplikasi kesihatannya lebih dahsyat.

“Syukur bila dapat keputusan rupanya ia hanya asma. Sejak hari itu, 9 Mac, saya nekad berhenti merokok. Agak sukar tetapi saya kuatkan semangat apabila melihat isteri dan anak-anak kerana saya tidak mahu mereka tanggung derita sekiranya saya berpenyakit,” katanya.

Menurut Mohd Khairul Nizam, perokok lain juga boleh berhenti kerana jika beliau yang perokok tegar boleh melakukannya, sudah tentu perokok biasa mampu melakukannya cuma mereka perlu ada keazaman tinggi.

Beliau tidak menafikan pada peringkat awal, memang sukar menghilangkan ketagihan yang sudah lama berakar umbi itu dan cabaran hebat ialah gejala nicotine withdrawal syndrome setelah berhenti merokok seperti resah, mudah marah, sakit kepala, loya. Namun ia dialami seminggu sahaja.

“Dari suka bau rokok, sekarang tidak boleh bau, busuk sangat. Saya rasa macam mendapat kehidupan baru, paru-paru baru kerana rasa lebih sihat. Untuk pastikan konsisten, saya sentiasa mengemaskini perkembangan di Facebook.

“Ada yang pertikai tetapi akhirnya turut serta ikut saya berhenti merokok. Ketika ini, ramai memperkatakan norma baharu, bagi saya inilah norma baharu kami sekeluarga, kehidupan lebih sihat dan bermakna,” katanya.

Risiko tinggi

Mengulas mengenai pengalaman Mohd Khairul Nizam, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara merupakan masa terbaik golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat ini.

Ketagihan merokok yang menjejaskan fungsi paru-paru meletakkan perokok dalam kategori berisiko tinggi berdepan komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 kerana penyakit maut itu boleh menyerang paru-paru.

Menurut Dr Sharifa Ezat, apabila seseorang itu merokok, paru-paru mudah rosak, menjadi hitam disebabkan bahan kimia rokok itu sudah sebati dalam paru-paru, darah serta dalam badan.

Malah, paru-paru perokok juga kurang kemampuan melawan penyakit dan sekiranya kuman, virus, kulat ada dalam paru-paru ia akan menjadi lebih parah dan sukar dirawati.

Terdapat kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko lebih tinggi dari bukan perokok untuk dijangkiti Covid-19 dengan hasil jangkitan lebih teruk.

Menurut beliau, ini kerana perokok selalunya mempunyai kecederaan atau kerosakan paru-paru akibat merokok, terutama jika perokok tegar (merokok dengan bilangan rokok yang tinggi seperti 1 kotak sehari) dan kronik (merokok bertahun-tahun).

“Jika mereka terjangkit Covid-19, keadaan adalah lebih teruk dan sukar dirawat. Perokok juga selalu ada masalah kesihatan lain iaitu kencing manis, sakit jantung, kanser dan darah tinggi.

“Kaitan penyakit lain ini adalah sangat tinggi dengan peningkatan risiko kematian pesakit Covid-19. Terutama juga jika perokok adalah golongan yang sudah berumur atau warga emas,” katanya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, UKM, menerusi e-mel.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik sebagai berkata, perokok dan mereka yang mempunyai masalah obesiti berdepan risiko komplikasi tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Audit Kematian Covid-19 yang ditubuhkan sejak akhir Mac lalu, kumpulan ini bukan sahaja akan mendapat radang paru-paru, tetapi kepekatan darah juga akan meningkat.

Rokok elektronik

“Virus itu juga boleh merosakkan dinding saluran darah yang halus. Jadi jika saluran ini rosak dinding akan berlaku thrombosis, iaitu pembekuan darah dalam pembuluh atau jantung. Bagi pesakit obesiti pula, pengaliran darah lebih perlahan,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, sekiranya ketiga-tiga ini berlaku, boleh menyebabkan darah beku dan akan berlaku komplikasi.

“Kalau darah beku berlaku di jantung, pesakit akan mendapat penyakit jantung, kalau di otak akan diserang angin ahmar,” katanya dalam laporan berita berkenaan.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa golongan perokok lebih mudah terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 apabila jari atau rokok yang tercemar dengan virus maut itu menyentuh bibir dan meningkatkan kemungkinan virus pindah dari tangan ke muilut.

Laporan MailOnline pada 31 Mei menyebut risiko tinggi perokok jika dijangkiti Covid-19 menyebabkan 300,000 orang di Britain mengambil keputusan berhenti merokok.

Bagaimana pula dengan rokok elektronik (e-rokok) atau ‘vape’? Apakah pengambilnya terselamat atau turut berhadapan risiko serupa?

Menurut Dr Sharifa Ezat, mereka ini juga tidak terkecuali untuk berhadapan risiko dahsyat sekiranya dijangkiti Covid-19 meskipun belum ada banyak kajian yang mengaitkan Covid-19 dengan perokok jenis e-rokok dan vape (tanpa nikotin).

“Tetapi, menurut kajian dan kenyataan yang sedia ada, sungguhpun perokok e-rokok kurang risiko berbanding rokok tembakau tradisional, perokok e-rokok juga akan mengalami kecederaan paru-paru akibat bahan dalam cecair e-jus iaitu Propylene Glycol, Gliserin, Acetyldehid atau Diacetyl, dan ini meningkatkan juga risiko keparahan penyakit Covid-19.

“Propylene Glycol, Gliserin ini adalah bahan dalam e-jus yang digunakan untuk memberi bau wangi yang enak kepada perisa e-rokok. Bahan ini menerima kebenaran digunakan untuk bahan memasak dan bukannya disedut ke dalam paru-paru.

“Juga selalunya, penghisap e-rokok dan ‘vape’ mempunyai sejarah merokok rokok tembakau dahulu. Maka, mereka mungkin sudah mempunyai kerosakan paru-paru sedia ada,” katanya.

Hari tanpa tembakau

Ketika diminta mengulas Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang diraikan ketika wabak Covid-19 masih melanda negara, beliau berkata keadaan ini sepatutnya menyedarkan perokok bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi juga keluarga.

“Sepanjang PKP Bersyarat (PKPB), pergerakan kita agak terbatas, disarankan duduk di rumah sekiranya tiada keperluan penting keluar. Jadi, bagi perokok lingkungan mereka merokok agak terbatas.

“Apabila mereka tetap ingin merokok di dalam rumah, asap rokok berlegar dan mendedahkan ahli keluarga kepada risiko perokok pasif

“Perokok pasif terutama yang sentiasa dekat dengan perokok juga terdedah kepada risiko yang sama seperti perokok itu sendiri.

“Risiko kanser meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus, penyakit jantung meningkat 25 hingga 40 peratus ke atas perokok pasif yang tinggal bersama, berbanding jika mereka tidak tinggal sebumbung dengan perokok aktif,” katanya.

Sementara itu, Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin menyentuh mengenai bahaya asap rokok ketiga.

Ramai beranggapan jika tidak merokok di dalam rumah, maka seseorang itu bebas daripada asap rokok.

Hakikatnya, asap rokok tidak semestinya boleh dilihat kerana ia sebenarnya wujud dalam bentuk partikel halus atau debu yang melekat di badan, rambut, pakaian, dinding, lantai, langsir dan hampir semua objek di dalam rumah – ini dinamakan asap rokok ketiga.

“Kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak merokok berdepan risiko masalah kesihatan berkait dengan tembakau apabila mereka menyedut , menelan atau menyentuh bahan mengandungi asap rokok ketiga,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :