Rossiti berdiri Gunung Kinabalu. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Rossiti sertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu

Oleh Emin Madi

KOTA KINABALU – Meskipun Rossiti Maineh Karim memasang impian untuk menyertai pasukan polis sejak kecil tetapi sebaik sahaja tamat sekolah menengah, anak kelahiran Ranau ini mendapat tawaran kerja sebagai pekerja am dengan Taman-Taman Sabah.

Taman-Taman Sabah adalah badan berkanun yang bertanggungjawab untuk pemuliharaan serta pengurusan taman negara di Sabah termasuk taman daratan, marin dan rezab hidupan liar.

Pada permulaan perkhidmatannya pada 1992, Rossiti hanya melakukan tugas am di ibu pejabat Taman Kinabalu yang terletak di Kundasang, kira-kira 88 kilometer dari Kota Kinabalu, sebelum dipindahkan ke bahagian pentadbiran.

Tanpa disangka, beliau kemudiannya turut terpilih untuk menyertai ekspedisi penuh cabaran ke Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia, dengan puncak setinggi 4,095 meter.

Peserta tunggal wanita

Tugas pendakian Gunung Kinabalu yang pertama diterimanya adalah pada 2005. Ketika itu beliau sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang cahaya mata.

Rossiti, 52 , dari suku kaum Kadazandusun ini mungkin satu-satunya peserta wanita di Malaysia yang berpeluang menjelajah sekitar kawasan pergunungan serta mendaki Gunung Kinabalu untuk ekspedisi penyelidikan dan tinjauan bersama dengan rakan sejawat lelakinya.

Berkongsi pengalaman dengan Bernama menerusi wawancara e-mel, beliau berkata untuk tugasan pertamanya itu, beliau adalah satu-satunya wanita dalam pasukan ekspedisi 13 anggota itu. Misi mereka untuk meninjau laluan Panataran dari kampung Melangkap Kapa dan Eastern Plateau ke Rumah Rehat Laban Rata, Gunung Kinabalu, terletak pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Rossiti ditugaskan untuk memasak dan membantu pasukan dengan aktiviti mereka. Anggota pasukan termasuk Peguam Negara pada masa itu, Datuk Mohamed Bazain Idris dan penolong pengarah Taman-Taman Sabah ketika itu itu, Eric Wong.

Meskipun membesar di Kundasang dan semasa bersekolah pernah empat kali mendaki Gunung Kinabalu, namun ekspedisi lapan hari yang ditempuhi itu amat mencabar sekali.

“Tugas kami adalah untuk menilai denai sepanjang laluan Panataran dan untuk membuat syor sama ada selamat untuk dibuka kepada orang awam. Namun keseluruhan trek amat sukar kerana sepanjang waktu hujan dan denai begitu licin.

“Lagi pun kami tidak mempunyai malim gunung yang secukupnya. Anggota ekspedisi lelaki perlu membawa lebih daripada 39 kilogram peralatan dan bekalan sementara saya membawa seberat 20 kilogram, “ katanya.

Di sebalik kesukaran yang dilalui, banyak peristiwa menarik yang masih segar dalam ingatan Rossiti.

Antaranya, ketika beliau sedang berehat di kawasan hutan gunung sejurus sebelum tiba di kem Panataran, tiba-tiba muncul tiga orang utan bergerak ke arah beliau.

“Ketika itu saya begitu letih sekali…tanpa diduga muncul di hadapan saya tiga orang utan, mengampiri saya, mungkin satu atau dua meter jaraknya.

“Saya tergamam tetapi nasib baik orang utan itu beredar. Mungkin juga orang utan itu terperanjat melihat saya. Memang takut tapi pengalaman itu tak boleh dilupakan,” tambahnya.

Tugasan yang mencabar

Selain ekspedisi 2005, Rossiti turut menyertai enam lagi ekspedisi Gunung Kinabalu antara 2006 dan 2007. Salah satu ekspedisi itu adalah untuk memeriksa Laluan Bowen, denai yang digunakan oleh dua orang pendaki gunung warga Britain, Miles Bowen dan Ross Urquhart yang mendaki puncak timur Gunung Kinabalu pada 1957.

Pada 2009, Rossiti terlibat dalam tiga ekspedisi gunung yang besar dan beliau adalah satu-satunya peserta wanita tunggal. Tugasan pertama adalah untuk mengesan denai yang digunakan oleh Lilian Gibbs, ahli botani British dan wanita pertama mendaki Gunung Kinabalu pada 1910.

Untuk ekspedisi ini, pasukan tersebut terpaksa melalui trek dari Kiau Nuluh, sebuah kampung di Kadamaian di daerah Kota Belud, yang terletak 2,252 meter dari paras laut di sepanjang laluan utama ke kemuncak Gunung Kinabalu.

Menurut Rossiti, satu bahagian daripada laluan ini yang digunakan oleh Gibbs membawa pasukan ini ke sebuah gua dikenali sebagai Gua Lubong dan usaha menjejaknya begitu mencabar untuk pasukan ini.

“Untuk tugasan ini, kami membuat dua cubaan untuk meninjau laluan itu kerana kami gagal mencari laluan ke Gua Lubung dan terpaksa berpatah balik ke pejabat Taman Kinabalu.

“Sewaktu cubaan kedua, hari sudah gelap apabila kami hampir sampai ke Gua Lubong tetapi yang peliknya kami tak dapat menjejak bahagian akhir laluan ke gua. Pandangan kurang jelas dan pakai lampu suluh pun tak banyak membantu, “ katanya.

Pasukan tersebut memutuskan untuk bergerak ke arah sebuah sungai berhampiran kerana berpendapat lebih mudah untuk menjejak gua dari arah sungai kerana lokasinya adalah berhampiran sungai.

Sewaktu Rossiti dan ranger kanan Taman-Taman Sabah, Martin Moguring (juga anggota ekspedisi) cuba menurun laluan yang curam ke tebing sungai menggunakan tali, “Tangan kami terlepas dari pegangan tali kerana ia basah dan kami berdua hampir terjatuh. Saya bernasib baik dapat berpaut kepada akar kayu sementara Martin tersangkut di atas batu.

Hampir tengah malam barulah mereka berjaya sampai ke Gua Lubong. Peristiwa yang berlaku itu amat mencemaskan Rossiti sehingga beliau tidak dapat melelapkan mata malam itu.

“”Pada keesokan paginya saya membuat unggun api untuk mengeringkan pakaian kami yang basah tetapi api menjadi marak dan membakar pakaian kami. Nasib baik ada pakaian lain,” kongsinya lagi.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

Pada 2009, Rossiti juga menyertai ekspedisi sembilan hari Proing-Rhino Horn-Mesilau yang dianjurkan oleh Persatuan Sabah untuk mengumpul maklumat topografi serta gambar kawasan berkenaan untuk buku panduan bahagian timur Gunung Kinabalu.

Jarak perjalanan dari Poring ke Rhino Horn dan Gua Mesilau hanyalah 23.4 km tetapi pasukan tersebut mengambil masa sembilan hari untuk sampai ke Gua Mesilau kerana laluan ke dataran tinggi timur gunung itu belum diterokai untuk didaki berbanding bahagian baratnya.

“Laluan itu curam dan licin. Kami tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi. Tengah malam saya terpaksa bangun dari tidur untuk kumpul air hujan. Basah kuyup saya dan lepas tu langsung tak boleh tidur kerana terlalu sejuk, “ katanya.

Di Rhino Horn, pasukan ini terpaksa melalui cerun yang curam dan terpaksa bergayut kepada akar dan dahan pokok untuk melompat turun ke batu besar dengan membawa bebanan yang berat. Sungguh mencabar!

Menurut Rossiti, meskipun tugasnya adalah untuk menyediakan makanan, dia juga turut membantu mengumpul spesimen tumbuhan untuk tujuan catatan jabatan.

Ekspedisi wanita 2009

Untuk ekspedisi ketiga pada 2009, Rossiti menyertai satu lagi pasukan Persatuan Sabah untuk membersihkan denai yang digunakan oleh Gibbs bagi persedian untuk Centennial Climb Gunung Kinabalu Menjejak Lilian Gibbs pada 2010.

Rossiti juga ditugaskan untuk mengambil bahagian dalam acara pendakian selama empat hari itu anjuran Persatuan Sabah. Acara itu juga mencatat sejarah kerana kesemua sembilan pesertanya adalah wanita.

“Buat pertama kalinya saya mengiringi ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu yang kesemua pesertanya adalah wanita. Agak mencabar kerana tugas saya adalah untuk menjaga keselamatan kesemua peserta, “ katanya.

Pada 2017, Rossiti menyertai ekspedisi untuk mencuba laluan baru sejauh 2.8 km ke Gunung Kinabalu yang diwujudkan bagi menggantikan laluan lama dari Rumah Rehat Panar Laban ke Pondok Sayat-Sayat yang rosak akibat gempa bumi sekuat 6.6 skala Richter yang menimpa Ranau serta bahagian timur gunung pada 5 Jun 2015.

Di sebalik cabaran getir, Rossiti, yang akan bersara pada 2026 teruja untuk menyertai lebih banyak ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu kerana baginya, setiap pendakian mempunyai banyak kisah tersendiri yang pasti dikenang hingga ke akhir hayat.

– BERNAMA


Pengarang :