Pekerja Matt Barber Shop Premium, Ibrahim Taib, 31, mencuci peralatan untuk menggunting rambut sebagai persediaan sebelum memulakan operasi pada Rabu ini ketika tinjauan pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Salun kembali operasi, pengguna boleh adu jika caj tidak munasabah

PUTRAJAYA, 7 JUN: Pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna jika kedai gunting rambut dan salun mengenakan caj tidak munasabah.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata hanya kos barangan yang terlibat dalam pencegahan Covid-19 boleh dicaj kepada pelanggan selain kos asal upah gunting rambut.

“Sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman, maka hanya kos barangan terlibat sahaja boleh dicaj kepada pelanggan selain kos asal upah gunting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota penguat kuasa kementerian akan membuat pemeriksaan ke atas premis bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan serta membebankan pengguna.

Nanta berkata jika terdapat aduan, kes boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).

Pada Sabtu, caj gunting dan dandanan dilapor akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Susulan itu, Nanta menyarankan premis gunting rambut dan salun mempamerkan senarai harga barangan tambahan serta caj servis pemotongan rambut bagi membolehkan pelanggan menyemak harga.

Sebarang aduan boleh dibuat melalui WhatsApp di nombor 019- 2794 317 atau mana-mana bilik gerakan atau melalui pusat panggilan di 1 800 886 800 atau e-mel kepada [email protected].

Kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dan salun kecantikan beroperasi mulai 10 Jun dengan SOP ketat selepas sektor itu ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :