Guru SMK Engku Husain Rohana Asha’ari (kiri) bersama Siti Fatimah Mahmud (kanan) dan Manisa Rahmat (tengah) menyusun meja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA
NASIONAL

Sekolah dibuka semula, ibu bapa digalak sedia bekal makanan

SHAH ALAM, 10 JUN: Ibu bapa digalak menyediakan bekal makanan kepada anak masing-masing apabila sekolah kembali dibuka bermula 24 Jun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin.

“Tentu ibu bapa membayangkan anak-anak bersesak-sesak di kantin. Jangan risau, waktu rehat adalah secara berperingkat dengan makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan sosial semasa membeli serta akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti luar bilik darjah seperti perhimpunan, sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

“Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik. Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid,” katanya.

Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sesi persekolahan untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta peperiksaan antarabangsa setara pada 24 Jun ini.


Pengarang :