Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media khas berhubung perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasminya di Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SELangkah-MySejahtera kerjasama, jejak kontak meluas

SHAH ALAM, 5 JUN: Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) menjalin kerjasama dengan MySejahtera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengukuhkan lagi penjejakan kontak Covid-19 secara meluas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan ini membolehkan petugas KKM mengakses data sistem itu dengan lebih menyeluruh selain menggunakan kaedah sedia ada.

“Dengan wujudnya integrasi ini, pemilik premis menggunakan aplikasi SELangkah boleh terus berbuat demikian tanpa mengubahnya. Namun, perkongsian pintar antara kedua-dua aplikasi digital ini diharap tidak mengelirukan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata sistem ciptaan Kerajaan Negeri digunakan hampir 2.03 juta pengguna dan kira-kira 40,000 peniaga serta pemilik premis pelbagai sektor bermula dari pusat membeli-belah hingga ke perusahaan kecil dan sederhana.

“Angka ini meliputi penggunaan di Lembah Klang sahaja dan belum mengambil kira data pengguna negeri lain seperti Johor dan Pahang yang turut menyumbang jumlah pengguna tinggi. Malah, sehingga hari ini sebanyak 14 juta log kunjungan ke aplikasi tersebut didaftarkan,” katanya.

SELangkah diperkenal 4 Mei lalu bertujuan menjejak jangkitan Covid-19 di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan Jabatan Kesihatan membuat pengesanan kontak jika berlaku penularan virus.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.


Pengarang :