BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor azam juara Sukma tahun depan

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor berazam menjadi juara pada Sukan Malaysia (Sukma) yang dijangka diadakan pada Mac tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda dan sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata walaupun negeri itu sudah lama tidak merangkul kejohanan namun prestasi atlet kekal terserlah.

“Tidak dinafikan kebanyakan atlet yang mewakili negara masing-masing dari Selangor, ini membuktikan atlet kita bagus walaupun negeri sudah lama tidak merangkul juara.

“Malah, Majlis Sukan Negeri Selangor juga sentiasa melihat prestasi atlet dari semasa ke semasa dan kita berusaha untuk sahut gelaran juara bukan hanya di Sukma tetapi sukan-sukan lain juga pada masa akan datang,” kata beliau menerusi siaran langsung Covid-19: Cabaran Generasi Muda Pasca Pandemik di Facebook Institut Darul Ehsan.

Mengulas mengenai Kerajaan Negeri memfokuskan e-sukan sehingga kurang tumpuan terhadap sukan seperti bola sepak, sepak takraw atau badminton, Mohd Khairuddin berkata ia masih sama.

“Sekarang kita lebih menumpukan e-sukan kerana halangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan aktiviti sukan di luar diadakan.

“Justeru, ketika pandemik melanda ini kita menggalakkan generasi muda untuk terus memfokuskan kepada e-sukan, elak berkumpul ramai. Selesai PKPB kita kembali macam biasa,” katanya.


Pengarang :