AGENSISELANGOR

Selangor bincang SOP korban, majlis tahlil

SHAH ALAM, 25 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) ibadat korban di Selangor akan dibincang minggu ini, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya akan turut meneliti tatacara bagi majlis tahlil diadakan di surau dan masjid sebelum diumumkan.

“Kita benarkan (majlis tahlil dan ibadat korban) selaras dengan keputusan diumumkan menteri semalam namun pelaksanaan SOP di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.

“Perbincangan akan membabitkan beberapa pihak dan secara menyeluruh. Selepas mendapat kata putus ia terus diumum untuk memudahkan semua pihak membuat persediaan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan umat Islam dibenar menjalankan ibadat korban Aidiladha selain majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, tahlil, doa selamat dan sambutan ulang tahun bermula 1 Julai.

Bagaimanapun, had masa majlis dibenarkan antara tiga hingga lima jam dengan kapasiti tidak lebih 250 individu.


Pengarang :