Ir Izham Hashim ketika ditemui media selepas meninjau tapak sampah haram di Taman Medan, Petaling Jaya pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM13.862 juta laksana agihan tender JKR, JPS

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM13.862 juta untuk pelaksanaan agihan tender projek penyelenggaraan jalan dan pengairan di Selangor.

Sejumlah RM5.489 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk agihan tender 137 projek kontraktor kecil manakala baki kepada Jabatan Pengairan Selangor (JPS) meliputi 208 projek.

“Bagi fasa pertama, jumlah minimum untuk satu kerja JKR adalah RM50,000 manakala JPS tidak melebihi RM100,000,” kata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim di Facebook.

Beliau berkata program tender diteruskan bagi memberi peluang kepada kontraktor mendapat projek berkaitan selain membuktikan ketelusan Selangor memberi kerja undi.

“Saya berharap ia disambut baik oleh kontraktor dan mereka yang layak dipelawa menyertainya,” katanya lagi.

Cabutan undi bagi kerja JKR berlangsung pada 18 Jun ini (12 tengah hari) manakala JPS pada jam 2 petang yang akan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi kedua-dua jabatan berkenaan.

Kontraktor yang berminat boleh layari https://tender.selangor.my untuk maklumat lanjut.

Berikut tarikh ditetapkan untuk kerja undi:

Tarikh buka : 5 Jun 2020
Tarikh tutup : 10 Jun 2020
Tarikh pengumuman senarai kontraktor layak : 14 Jun 2020
Tarikh rayuan : 14-16 Jun 2020
Tarikh pengumuman senarai akhir kontraktor layak: 17 Jun 2020
Tarikh cabutan kerja undi : 18 Jun 2020
Tarikh paparan keputusan kerja undi: 19 Jun 2020


Pengarang :