Ir Izham Hashim (tengah) turun padang berjumpa penduduk yang terkesan susulan insiden tanah runtuh di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa pada 2 Jun 2020. Foto KHAIRUL AZRAN HUSSIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk RM500,000 stabilkan tebing sungai di Bukit Antarabangsa

AMPANG JAYA, 2 JUN: Selangor memperuntukkan RM500,000 bagi menstabilkan tebing Sungai Sering di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa susulan kejadian tanah runtuh pada 30 Mei lalu.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata ia bagi mengelak pergerakan tanah di tebing sungai yang boleh menghalang laluan air sekali gus membahayakan perumahan di sekitar kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, penduduk tidak perlu bimbang kerana keadaan semasa masih terkawal dan dipantau pihak berkuasa dua kali sehari.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut membuat kajian pergerakan tanah bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya selepas meninjau lokasi tersebut hari ini.

Pada jam 2.21 pagi Sabtu lalu, seramai 40 penghuni di tujuh rumah teres dua tingkat di sini diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut melawat kawasan kejadian memutuskan membiayai penginapan mangsa di Hotel de’ Palma selama seminggu sebelum Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mencari rumah sewa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi kos pembaikan meliputi pembinaan tembok penahan di kawasan runtuhan dan kerja baik pulih dijangka mengambil masa enam bulan.


Pengarang :