Selangorkini
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dalam temubual eksklusif bersama SelangorKini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 4 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar jadi pusat simpanan makanan negara

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor mensasarkan untuk menjadi pusat simpanan makanan negara pada masa depan, kata EXCO pemodenan pertanian dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata walaupun terkenal sebagai negeri perindustrian tetapi teknologi moden membolehkan sektor pertanian dibangunkan di Selangor dalam ruang terhad tanpa menjejaskan kualiti dan kutipan hasil.

“Sasaran adalah mewujudkan simpanan makanan untuk keselamatan bukan sahaja untuk negeri ini tetapi seluruh negara dan Kerajaan Negeri sedar betapa penting memastikan bekalannya sentiasa berada pada paras selamat serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan import,” katanya.

Izham berkata Kerajaan Negeri mengenal pasti 12 jenis tanaman bernilai tinggi antaranya buah tin, pisang, nanas dan padi yang akan diusahakan mengikut zon.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya dalam peringkat akhir untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Selangor yang menghimpunkan pakar dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Penubuhan pusat kecemerlangan ini selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor yang bermatlamat memulakan amalan pertanian pintar berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta internet untuk segalanya (IoT).

“Pertanian pintar membolehkan kita menilai kesesuaian tanah, air, baca serta peralatan bagi meningkatkan hasil, kualiti dan produktiviti tanaman sekali gus mengelak pembaziran dan menjimatkan masa,” katanya.


Pengarang :