Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor sasar lebih ramai peniaga guna e-dompet

SELAYANG, 19 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga termasuk penjaja kecil menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai melalui aplikasi e-dompet atau boost dalam urusniaga.

Pegawai Penasihat Dasar EXCO Usahawan Mohd Suffian Ahmad Saifuddin berkata ia bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam teknologi digital sekali gus mengetengahkan potensi perniagaan melalui capaian laman maya.

“Kebanyakan peniaga mengadu jualan kurang terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia disebabkan mereka masih mengamalkan perniagaan secara fizikal.

“Kita berharap untuk pembangunan (inisiatif) seterusnya, mereka boleh mencapai ke arah itu (transaksi tanpa tunai) termasuk berniaga dalam talian bagi menambahkan pendapatan dan pelanggan,” katanya selepas lawatan ke pasar pagi bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.


Pengarang :