Mohd Khairuddin Othman menyerahkan replika cek kepada penerima pada Program Santuni Rumah Perlindungan dan Pemulihan Riqab Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 16 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor sumbang RM150,000, laksana aktiviti rumah pemulihan Mais

SHAH ALAM, 16 JUN: Sejumlah RM150,000 disumbangkan Kerajaan Negeri kepada 30 rumah perlindungan dan pemulihan riqab seliaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

EXCO pembangunan modal insan berkata sumbangan bagi meringankan beban pihak pengurusan melaksanakan program harian kepada golongan yang dibelenggu masalah sosial.

“Inisiatif Mais dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) mewujudkan rumah ini usaha yang baik. Kita harap pihak pengurusan melakukan aktiviti berfaedah supaya golongan bermasalah kembali kepada fitrah sebenar,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui selepas menyerahkan replika cek pada Majlis Santuni Rumah Perlindungan dan Pemulihan Riqab Sempena Hari Raya Aidilfitri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata berdasarkan data Mais, bilangan remaja yang menjalani proses pemulihan di rumah tersebut meningkat antara 10 hingga 20 peratus pada 2017 hingga 2019.

Jelasnya, penambahan itu menunjukkan usaha Mais bersama NGO-i menyantuni golongan terbabit untuk kembali ke jalan benar membuahkan hasil.

“Kita harap kerjasama dan komitmen antara kedua-dua pihak diteruskan dalam usaha menurunkan kadar masalah sosial di negeri ini,” katanya.

Pada 2017, seramai 1,273 pelatih menjalani pemulihan di rumah perlindungan Mais, 2,039 orang (2018), 2,260 (2019) dan 1,622 orang setakat Jun lalu.


Pengarang :