Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Sindiket judi dalam talian tumpas, 42 warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Polis menahan 42 warga China termasuk dua wanita, selepas menyerbu beberapa unit di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, dekat sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam kenyataan berkata sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun, dalam serbuan bermula 5.30 petang.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan QQChat.

“Sindiket ini menghantar ratusan pesanan WeChat, WhatsApp, QQChat kepada pelanggan di China dan beroperasi lebih kurang dua bulan.

“Jumlah bayaran sewa setiap unit premis adalah RM6,500 dan anggaran gaji bulanan setiap pekerja adalah RM2,500 hingga RM3,000. Premis beroperasi pada setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam dan pekerja sindiket akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit,” katanya.

Mazlan berkata sebanyak 24 set komputer, 273 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah komputer riba serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan operasi perjudian dalam talian dirampas untuk siasatan.

Menurutnya semua suspek direman 14 hari sehingga 1 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian haram atau berdepan tindakan undang-undang.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :