Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto ihsan Sky Mirror
ADNSELANGOR

Sky Mirror Kuala Selangor dibuka kembali

SHAH ALAM, 25 JUN: Lokasi pelancongan, Sky Mirror di Kuala Selangor beroperasi kembali selepas hampir tiga bulan ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata sehubungan itu orang ramai digalakkan berkunjung ke situ selari dengan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ bagi merasai keindahan serta pengalaman unik ketika berada di negeri ini.

“Ketika berada di Sky Mirror, pengunjung berpeluang melihat beting pasir di permukaan laut untuk selama beberapa jam akibat fenomena air surut.

“Suasana berkenaan pasti membuat pengunjung teruja tetapi jangan lupa untuk patuh dengan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, satu lagi lokasi pelancongan popular di Kuala Selangor iaitu Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan masih lagi ditutup.

Majlis Daerah Kuala Selangor memaklumkan penutupan bermula pada 11 Jun lalu bagi kerja membaik pulih serta naik taraf dan pengumuman mengenai pembukaan semula pusat pelancongan berkenaan akan dibuat kelak.

Sky Mirror Kuala Selangor setiap hari dilawati hampir 200 pelancong dari dalam dan luar negara antaranya dari Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.


Pengarang :