Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENDANASIONAL

Solat Jumaat kekal satu sesi, boleh guna perkarangan masjid

SHAH ALAM, 26 JUN: Solat Jumaat dua sesi belum dibenarkan, sebaliknya kelonggaran membabitkan penggunaan ruang di perkarangan masjid, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengurusan masjid perlu mengawal penjarakan sosial dan jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Setakat ini kita belum benarkan (solat dua sesi), selagi tiada pengumuman maka status (tidak dibenarkan) masih kekal. Selain satu per tiga (jemaah) di dalam masjid, kita juga benarkan solat di perkarangan (masjid),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata duta, pegawai diplomatik dan kakitangan kedutaan warga asing dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau bermula 3 Julai ini.

“Kementerian Luar Negeri akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan berkenaan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi. Bagi warga asing selain yang disebut, kebenaran masih dalam pertimbangan,” katanya lagi.


Pengarang :