Selangorkini
Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPAN: Bil Mei tinggi rangkumi penyelarasan Mac, April

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bil air bagi Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa kerana ia merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April 2020.

Menjelaskan terdapat banyak aduan pengguna mengenai bil air yang tinggi, SPAN dalam satu kenyataan berkata bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada bulan Mei, pengiraan bil bagi bulan Mei akan dibuat mengambilkira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April.

“Selain itu, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP yang berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing. Ini telah menyumbang kepada peningkatan bil air,” kata SPAN.

Menurut SPAN, satu ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan PKP telah dikeluarkan untuk dirujuk dan dipatuhi oleh operator agihan air bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pengguna adalah pada kadar yang wajar.

“Sekiranya kaedah pengiraan yang digunakan oleh operator adalah tidak selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh SPAN, operator dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Bagi mengelak kekeliruan berterusan, SPAN meminta operator agihan air untuk membanyakkan sesi penjelasan kepada pengguna berhubung isu itu melalui pelbagai medium penyampaian.

“Pengguna diminta menjelaskan bil air masing-masing dan jika ada lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.

“Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke [email protected],” kata SPAN.

– BERNAMA


Pengarang :