Anggota polis dan tentera mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Status kawalan di Taman Langat belum diketahui

KUALA LANGAT, 7 JUN: Status kawalan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang belum diketahui walaupun kes Covid-19 meningkat semalam, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata sebanyak dua kes dikesan kelmarin, naik kepada tujuh semalam dan 2,365 penduduk masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Status positif Covid-19 dan keadaan di sini sudah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sama ada untuk mengubah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada diperketatkan bergantung kepada mereka (KKM dan MKN),” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKP Pentadbiran Kuala Langat di sini hari ini.

Mohd Jusni berkata PKP Pentadbiran dikuatkuasakan di kedua-dua taman pada 2 Jun susulan 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur positif wabak.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 20 orang menetap di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama manakala selebihnya di Nilai, Negeri Sembilan.

“Sembilan belas daripada mereka sudah sembuh dan dihantar pulang ke rumah di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 4 Jun lalu manakala 114 kontak rapat yang dikuarantinkan dihantar pulang pada 6 Jun,” katanya.


Pengarang :