Nuraqilah melihat keadaan suaminya yang tidak sedarkan diri selepas terlibat kemalangan. Foto Ihan Komuniti Kuala Langat
AGENSISELANGOR

Suami koma akibat kemalangan, LZS hulur bantuan

BANTING, 31 MEI: Kesulitan hidup seorang wanita dari Batu 24, Kampung Kanchong Tengah di sini mengurus suami yang terlantar tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya pada Februari lalu mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu memaklumkan Nuraqilah Roslan, 29, memerlukan sokongan dan bantuan segera demi kelangsungan hidup keluarga selepas suaminya Muhammad Norezwa,32 koma sejak tiga bulan lalu.

“Kita menyalurkan bantuan perubatan bulanan antaranya susu khas dan lampin pakai buang termasuk peralatan perubatan seperti katil khas serta mesin pernafasan.

“Selain itu, bantuan kewangan dan makanan bulanan juga disalurkan kepada keluarga ini,” kata LZS di Facebook.

LZS turut memaklumkan wanita terbabit sedang menumpang di rumah kakaknya bagi memudahkan pemantauan suami dan membesarkan dua anak yang masih kecil.

“Semoga beliau diberikan kekuatan dan tabah dalam mengharungi dugaan ini,” tambah LZS.

Difahamkan, Muhammad Norezwa terlibat kemalangan di Kanchong Darat ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada 14 Februari lalu sehingga tidak sedarkan diri.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun bank RHB 16203600023307(Nuraqilah Roslan) atau menghubungi talian 011-51672884.


Pengarang :