Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Suspek kes pecah rumah ditahan selepas ‘kantoi’ langgar sekatan

PETALING JAYA, 13 JUN: Seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah dan curi kenderaan di Lembah Klang berjaya ditahan polis selepas ‘kantoi’ melanggar satu sekatan jalan raya menggunakan kenderaan curi jenis Proton X70.

Rentetan insiden berkenaan di Shah Alam kira-kira 1 pagi Isnin lepas, polis berjaya menahan suspek kira-kira sembilan jam kemudian di tempat letak kereta, sebuah apartment di kawasan Bukit Prima Pelangi, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata hasil siasatan di rumah suspek, beberapa barang berharga dipercayai dicuri ditemukan, antaranya sebuah kereta jenis Mercedes Benz C200 yang dilaporkan hilang, sebuah telefon bimbit dan dompet dengan beberapa kad kredit di dalamnya.

Hasil semakan polis, suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau dengan kesemua melibatkan kes samun dan pecah rumah, menurutnya.

Nik Ezanee berkata pihaknya juga kini sedang mengesan rakan sejenayah suspek dikenali sebagai Spiky atau nama sebenarnya Ong Chong En berumur 42 tahun dipercayai masih giat melakukan kegiatan kes pecah rumah dan mencuri kenderaan.

– BERNAMA


Pengarang :