Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja pemasangan kawat duri di sekitar Pangsapuri Taman Langat Utama dan Pangsapuri Taman Langat Murni pada 3 Jun 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Taman Langat Murni di Kuala Langat dikenakan PKP secara pentadbiran

PUTRAJAYA, 3 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dikenakan di Taman Langat Murni, Kuala Langat berikutan wujudnya kes positif Covid-19 di kawasan itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semasa menafikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di kawasan berkenaan seperti dilapor sesetengah media, Ismail Sabri berkata penduduk di kawasan itu masih boleh keluar masuk untuk urusan harian namun perlu melalui saringan kesihatan rapi dalam usaha kerajaan membasmi penularan wabak Covid-19 di kawasan tersebut.

“Berbeza dengan PKPD, mereka masih boleh keluar masuk tetapi mereka akan dikenakan saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Terdapat laporan media kerajaan melaksanakan PKPD di situ dengan polis dan anggota tentera memasang pagar kawat duri di sekitar kawasan itu tengah malam tadi kononnya selepas lebih 20 warga asing disahkan positif Covid-19.

Kawasan Hulu Langat dikenakan PKPD pada Mac lepas melibatkan tujuh kampung di Sungai Lui termasuk dua perkampungan Orang Asli, selepas 71 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Kawasan terakhir yang dikenakan PKPD adalah kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya pada 10 Mei, selepas 26 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan peniaga dan pekerja di pasar basah itu.

– BERNAMA


Pengarang :