Yang Dipertua MPKj Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid membuat lawatan tapak sambil menunggang basikal di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang pada 25 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Taman Rekreasi Sungai Chua dibuka 1 Julai

KAJANG, 25 JUN: Taman Rekreasi Sungai Chua selepas melalui proses penaiktarafan akan dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid berkata pembukaan taman awam itu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Bagi mengelak timbul masalah, kita minta kerjasama masyarakat untuk mematuhi SOP seperti mengawal penjarakan sosial dan tidak berkumpul di satu-satu tempat.

“Sekiranya dikesan melanggar arahan, kita akan terus menutup dan tidak membenarkan sesiapa sahaja memasuki taman rekreasi ini,” katanya selepas meninjau taman berkenaan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk bersama menjaga kemudahan asas disediakan selain memelihara kebersihan setiap masa.

“Dahulunya, kawasan ini merupakan sebuah kolam takungan air dan kita merancang membangunkannya bagi membolehkan masyarakat setempat melakukan aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

“Justeru, apabila ia dibuka diharap masyarakat guna dengan sebaik-baiknya dan tidak sesekali melakukan perkara boleh merosakkan harta benda,” katanya.

Taman Rekreasi Sungai Chua dibangunkan sejak Disember tahun lalu dengan kos pembinaan kira-kira RM1.3 juta membabitkan dua fasa pembangunan.


Pengarang :