Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah pada sesi temu bual bersama Bernama berkenaan aktiviti penyeludupan PATI ke negara ini yang didalangi tekong tempatan di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tambah aset maritim kekang kegiatan seludup pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) merancang untuk menambah aset-aset baharu terutamanya aset maritim bagi mengekang jenayah penyeludupan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.

Komander NTF Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata kini pihaknya menggunakan aset sedia diguna pakai bagi Operasi Benteng (Op Benteng).

Beliau berkata memandangkan Op Benteng merupakan operasi bersepadu, atur gerak aset diselaraskan bagi mencapai misi yang dihasratkan.

“Bagaimanapun, NTF kini dalam perancangan untuk menambah aset-aset baharu terutamanya bagi aset maritim dan antara penambahan yang dicadangkan adalah bot-bot pemintas.

“Untuk Op Benteng ini, aset maritim memang tidak mencukupi dan kami masih perlukan bot-bot pemintas untuk memintas pendatang tanpa izin di perairan negara ini,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF di sini.

Aris berkata NTF juga dalam perancangan untuk menambah aset udara seperti penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Beliau berkata aset-aset berkenaan amat berguna untuk pemantauan secara langsung dan dapat menyalurkan maklumat dengan cepat serta tepat.

“Insya-Allah kerajaan sedang memberikan peruntukan khas untuk NTF dan sedang memperolehi aset-aset yang kami mohon.

“Selain itu, NTF akan cuba sedaya upaya menutup segala kelemahan aset supaya operasi bersepadu ini, semua aset kita boleh berkongsi dengan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Aris berkata bagi keperluan darat, NTF juga merancang untuk membuat beberapa perolehan bagi menampung aset-aset yang sedia ada.

“Antaranya aset mobiliti bagi menambah baik operasi perisikan di daratan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Op Benteng, beliau berkata NTF menyelaras dan mengoptimumkan sumber manusia, aset dan atur gerak semua agensi penguatkuasaan agar mencapai objektif disasarkan.

Aris berkata penyelarasan itu dilihat efektif terutamanya aspek perkongsian maklumat perisikan, koordinasi kawasan rondaan dan pengurusan penahanan pendatang tanpa izin kerana disepadukan secara berpusat.

Op Benteng Covid-19 yang dilancarkan 12 Mei lepas melibatkan kerjasama polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan semua agensi penguatkuasaan daratan dan maritim negara.

– BERNAMA


Pengarang :