AGENDANASIONAL

Tangga ke-10 dunia, UPM kekal universiti muda terbaik negara

SHAH ALAM, 24 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia tersenarai pada kedudukan ke-10 terbaik dunia dalam ranking ‘QS 2021 World University Rankings 50 Under 50’ tahun ini.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aini Ideris berkata berbanding kedudukan ke-12 tahun lalu, peningkatan diraih secara berterusan selama lima tahun berturut-turut membolehkan universiti itu mengekalkan kedudukan sebagai universiti muda terbaik di negara ini.

“Pencapaian membanggakan ini membuktikan universiti seperti UPM mampu meraih kecemerlangan, reputasi dan penjenamaan imej setanding dengan institusi pengajian lain lebih awal ditubuhkan.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasinya naik dalam hampir semua indikator dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi selari dengan usaha memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan,” katanya dalam kenyataan.

Dr Aini berkata pencapaian berterusan direkodkan dalam penilaian badan antarabangsa membuktikan UPM berada pada landasan betul dalam menyediakan ekosistem pendidikan tinggi terbaik kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Prestasi yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM yang beriltizam untuk meletakkannya pada kedudukan terbaik di dunia,” katanya.

Katanya, kejayaan itu menaikkan lagi semangat warganya untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100) iaitu menjadi 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penilaian ‘QS Top 50 Under 50’ menggunakan enam indikator sama seperti ‘QS World University Ranking’ berkaitan penilaian universiti, akademik serta fakulti.


Pengarang :