Petugas Kesihatan Selcare membuat Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di Selayang pada 22 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanggung sendiri kos saringan pulang dari luar negara

PUTRAJAYA, 29 JUN: Bermula hari ini, rakyat tempatan dan warga asing perlu menanggung sendiri kos ujian saringan Covid-19 setibanya di Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun, tiga kategori individu diberi pengecualian daripada membayar kos ujian termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dua lagi kategori ialah pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi dan pelajar yang pulang dari luar negara bagi kali pertama dan perlu mengemukakan bukti pengajian.

“Bagi tiga kategori ini, jika mereka membayar caj ujian saringan sebelum keputusan pengecualian ini dibuat, mereka boleh menuntut semula caj daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media harian hari ini.

Dilaporkan sebelum ini, caj ujian saringan Covid-19 bagi warga Malaysia yang pulang ke negara ini antara RM30 hingga RM150 manakala warga asing pula dikenakan caj antara RM60 hingga RM250.

-BERNAMA


Pengarang :