Selangorkini
AGENDA EKONOMI

Teknologi, pendigitalan bantu syarikat tangani normal baharu

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Peneraju perniagaan di Malaysia terpaksa memanfaatkan kelebihan teknologi dan pendigitalan untuk pulih dan berkembang dalam normal baharu, menurut Ernst & Young PLT (EY).

Kajian impak perniagaan Covid-19 oleh EY, yang dijalankan pada 27 April hingga 19 Mei, mendapati bahawa perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi sebagai respons kepada sekatan semasa Covid-19.

Sejumlah 37 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta 32 peratus syarikat besar dan tersenarai mengambil langkah mengembangkan atau menaik taraf keupayaan teknologi mereka, kata EY berdasarkan kajian dalam talian meliputi hampir 700 firma besar termasuk PKS.

“Hampir 30 peratus syarikat juga melabur dalam perisian dan perkakasan ‘Kerja Dari Rumah’ bagi membolehkan pekerja mereka terus menyumbangkan produktiviti,” kata EY dalam kenyataan hari ini.

Rakan Kongsi Pengurusan EY Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid berkata Covid-19 menjadi penentu dalam mendorong perniagaan melaksanakan transformasi digital.

“Sebelum ini, banyak inisiatif dan program yang memujuk syarikat untuk beralih ke arah pendigitalan mendapat sambutan dingin terutama daripada PKS, Covid-19 memaksa mereka berubah,” katanya.

Menurut EY, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendedahkan bahawa perniagaan di Malaysia tidak mempunyai persediaan mencukupi untuk beralih kepada persekitaran kerja lebih didayakan digital.

“Semasa PKP, kebanyakan syarikat (83 peratus syarikat besar dan tersenarai; 84 peratus PKS) mengalami masalah dengan sambungan dalam talian termasuk komunikasi dengan pembekal dan pelanggan mereka, di samping isu dengan infrastruktur,” katanya.

Syarikat ini perlu meningkatkan lagi transformasi digital mereka dan mengguna pakai proses serta sistem teknologi dalam persediaan untuk persekitaran lebih digital dalam normal baharu ini.

-BERNAMA


Pengarang :