Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Thailand catat dua lagi kes baharu Covid-19, tanpa kematian

BANGKOK, 9 JUN: Thailand melaporkan dua kes baharu Covid-19, terdiri daripada rakyatnya yang kembali dari luar negara dan tiada kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 3,121 dengan 58 kematian.

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi Covid-19 (CSSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata dua kes baharu itu masing-masing seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun yang pulang dari Arab Saudi dan seorang wanita berusia 31 tahun yang kembali dari Belanda.

“Thailand merekodkan tiada jangkitan tempatan selama 15 hari berturut-turut. Sesebuah negara akan dianggap sebagai ‘berisiko’ rendah selepas ketiadaan jangkitan tempatan dua kali ganda dari tempoh inkubasi – 28 hari,” kata beliau dalam taklimat harian Covi-19 di sini hari ini.

Beliau menggesa rakyat supaya terus memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan tangan kerana kebanyakan kes di negara itu tidak menunjukkan gejala.

Dr Panprapa juga berkata daripada 3,121 kes itu, 2,973 pesakit telah pulih dan didiscaj daripada hospital.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan o-cha berkata tiada agenda politik jika kerajaan melanjutkan perintah darurat, yang dijadualkan berakhir pada 30 Jun ini.

Beliau berkata ramai yang akan berfikir kerajaan sepatutnya menamatkan perintah darurat di negara itu kerana tiada jangkitan tempatan selama 15 hari dilaporkan di Thailand.

“Kerajaan tidak mahu menghalang (hak dan kebebasan) rakyat. Bagaimanapun, perlu ada satu alat (undang-undang) untuk pihak berkuasa berkaitan mengawal dan mencegah pandemik Covid-19 di bawah standard yang sama (perintah darurat),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Rumah Kerajaan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Somkid Jatusripitak berkata kerajaan kini sedang mempertimbangkan membuka sempadannya dengan keutamaan kepada negara yang bebas Covid-19, pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

Beliau berkata kelonggaran ke atas perjalanan di dalam negara akan melonjakkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Ia tidak perlu buat seluruh negara – kami boleh membenarkan pelawat dari bandar atau wilayah yang bebas daripada virus corona. Sekatan perjalanan akan dilonggarkan secara beransur-ansur dan pelancong asing dijangka dapat kembali dalam suku ketiga atau keempat tahun ini,” kata beliau sebagaimana dipetik daripada laporan, akhbar Bangkok Post.

Beliau berkata industri pelancongan adalah penting dalam aspek pemulihan dan pembangunan ekonomi.

Sementara itu, Persekutuan Industri Thai (FTI) menggesa kerajaan supaya membuka semula sempadan negara kepada pelawat atas urusan perniagaan.

Naib Pengerusi FTI, Montri Mahaplerkpong berkata penutupan sempadan memberi kesan kepada perdagangan dan aktiviti perniagaan serantau.

– BERNAMA


Pengarang :