Anggota polis Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kota Setar Koperal Muhammad Syarif Ismail mengumpul lampu sekatan jalan raya di Plaza Tol Alor Setar (Utara) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mulai 10 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiada lagi sekatan jalan raya rentas negeri tengah malam tadi

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sekatan jalan raya rentas negeri di seluruh negara dihentikan mulai tengah malam tadi selepas kerajaan membenar pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias bagaimanapun berkata pihaknya masih melaksanakan sekatan jalan raya bagi tugasan khas seperti Op Mabuk dan samseng jalanan.

“Sekatan jalan raya rentas negeri yang didirikan ditutup mulai tengah malam tadi, namun Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan menjalankan sekatan jalan raya untuk operasi tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak menuju ibu negara mendapati anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan jalan raya mula mengalihkan kon serta khemah yang terletak di sekatan jalan raya rentas negeri di lokasi itu.

Beberapa kenderaan juga dilihat mula masuk ke ibu negara serta keluar menuju pantai timur untuk ke destinasi masing-masing bermula 12 tengah malam ini dengan lancar.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis peronda akan ditempatkan di sepanjang lebuh raya dan jalan utama bagi memantau aliran trafik.

-BERNAMA


Pengarang :