AGENDANASIONAL

Tiga individu didakwa menyamar jalankan ujian swab kakitangan KKM

SHAH ALAM, 15 JUN: Tiga individu yang tular di media sosial, kononnya menyamar untuk menjalankan ujian swab di sebuah rumah di kawasan perumahan di sini, disahkan sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata ketiga-tiga kakitangan itu pergi ke rumah berkenaan bukan untuk menjalankan ujian swab tetapi untuk memantau keadaan individu dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

“Sebuah van yang dinaiki ketiga-tiga kakitangan KKM dalam video tersebut juga adalah milik Pejabat Kesihatan Daerah Petaling manakala nombor pendaftaran van itu yang dikatakan milik kenderaan jenis Perodua Myvi juga adalah tidak tepat.

“Polis menerima laporan mengenai isu ini (menyamar sebagai kakitangan KKM) semalam dan siasatan mendapati ia merupakan salah faham antara pengadu dan pihak yang hadir ke lokasi rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baharudin berkata pihak KKM telah membuat laporan polis hari ini bagi mengesahkan kehadiran kakitangannya ke rumah terbabit di Bukit Subang sekitar 2 petang semalam, bertujuan memantau PUI berkenaan.

Sehubungan itu katanya, polis menyarankan orang ramai berhenti menyebarkan video dan gambar berkaitan insiden salah faham tersebut.

Sebelum ini tular di media sosial satu video berdurasi 1 minit 10 saat memaparkan tiga lelaki yang menaiki sebuah van tertera tulisan ‘Kementerian Kesihatan Malaysia’ hadir ke sebuah rumah dikatakan untuk melakukan ujian swab bagi mengesan wabak Covid-19.

Turut tular adalah gambar tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa nombor pendaftaran van yang dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah palsu kerana dikatakan nombor itu berdaftar bagi sebuah kereta Myvi.

– BERNAMA


Pengarang :